Pasir Mas, 17 September – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah melaksanakan Program Ziarah Kasih sempena kemasukan pelajar baharu sesi akademik 2025/2026 dengan menyantuni dua pelajar yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.
Ziarah kasih merupakan aktiviti tahunan yang dijalankan oleh UPM bagi memberi bantuan awal pendidikan. Dua pelajar tersebut, iaitu Saudari Fatin Syamimi Ahmad Termizi dan Saudari Putri Shafiqah Aniya Uswira, masing-masing menerima sumbangan sebagai tanda prihatin universiti terhadap kebajikan pelajar.
Saudari Fatin Syamimi yang memilih UPM sebagai pilihan utama dalam permohonan UPU, melahirkan rasa teruja apabila dipanggil menghadiri temuduga bagi program Bacelor Pendidikan Sains Pertanian dengan Kepujian serta Bacelor Pendidikan Sains Rumah Tangga dengan Kepujian. Beliau hadir ke UPM bersama kakaknya dengan menaiki bas, sambil membawa sendiri peralatan mengajar untuk sesi temuduga tersebut. Menurut beliau, suasana kampus UPM yang hijau dan mendamaikan turut menjadi faktor utama dalam membuat pilihan melanjutkan pengajian di universiti ini. Ibu bapa Fatin amat teruja kerana merupakan anak yang berjaya melangkah ke menara gading. Ibu bapa Fatin, turut pertama kali akan datang ke Selangor untuk menghantar Fatin bagi mencapai impian.
Sementara itu, Saudari Putri Shafiqah, anak sulung daripada beberapa orang adik-beradik, turut berkongsi keterujaannya untuk memulakan pengajian di UPM. Minat yang mendalam terhadap Bahasa Melayu mendorong beliau memilih program Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian sebagai pilihan pertama. Walaupun berdepan dengan kekangan kewangan, semangat beliau untuk mendaftar sebagai pelajar UPM tidak pernah luntur. Dalam program ini beliau juga turut menerima sumbangan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Yayasan Perkasa Siswa.
Program Ziarah Kasih ini turut disertai oleh YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), bersama-sama Encik Hirman Awang @ Semail, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kementerian Pendidikan Tinggi. Turut hadir ialah wakil Yayasan Perkasa Siswa, Encik Zulkifli Che Hussin dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM dan Seksyen Kesejahteraan Mahasiswa UPM bagi bersama-sama menyantuni pelajar baharu tersebut.

Tarikh Input: 26/09/2025 | Kemaskini: 26/09/2025 | kziana

Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia